Friday, 30 August 2013

SETIAP hamba Allah yang soleh/solehah pasti menginginkan malam penuh kemuliaan, iaitu malam al-Qadar atau Lailatul Qadar yang hanya didapati setahun sekali di dalam bulan Ramadhan. Orang yang istiqamah beribadah sepanjang tahun tentu lebih mudah mendapatkan kemuliaan dan keberkatan malam tersebut kerana ibadahnya yang dilakukan secara tetap (rutin) berbanding dengan orang yang beribadah jarang-jarang.
Lailatul Qadar Malam Kemuliaan Dan Keberkatan
Yang Hanya Terdapat Di Dalam Bulan Ramadhan

Terdapat banyak sekali kelebihan dan keistimewaan Lailatul Qadar yang hanya Allah Taala saja yang Maha Mengetahui akan kelebihan-kelebihannya. Namun dalam entri ini kita akan melihat 7 keistimewaan Lailatul Qadar yang begitu utama dari malam lainnya.

Padahal bagi orang yang benar2 ikhlas beramal kerana Allah Taala dan mahu mendapat ganjaran yang dijanjikan Allah pada malam yang penuh keberkatan ini, dengan satu keistimewaan pun sudah cukup untuk mereka beramal dengan bersungguh-sungguh.

1. Lailatul Qadar adalah waktu diturunkannya Al Qur’an.
Menurut Ibnu ‘Abbas dan lain-lainnya mengatakan, “Allah menurunkan Al Qur’an secara utuh sekaligus dari Lauhul Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian Allah menurunkan Al Qur’an tersebut kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, secara terpisah (yakni beransur-ansur) sesuai dengan kejadian-kejadian yang terjadi(Asbabun Nuzulselama 23 tahun.” (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 403).

Ini sudah menunjukkan keistimewaan Lailatul Qadar.

2. Lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan.
Allah Ta’ala berfirman;

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (QS. Al Qadar: 3).

An Nakha’i mengatakan, “Amalan di Lailatul Qadar lebih baik dari amalan di 1000 bulan.” (Latha-if Al Ma’arif, hal. 341). Mujahid, Qotadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksud dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada Lailatul Qadar lebih baik dari solat dan puasa di 1000 bulan yang tidak terdapat Lailatul Qadar. (Zaadul Masiir, 9: 191).

Ini sungguh keutamaan Lailatul Qadar yang luar biasa.

3. Lailatul Qadar adalah malam yang penuh keberkatan.
Allah Ta’ala berfirman;

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).” (QS. Ad-Dukhan: 3).

Malam penuh berkat ini adalah malam ‘Lailatul Qadar’ dan ini sudah menunjukkan keistimewaannya.

4. Malaikat dan juga Ar Ruuh iaitu malaikat Jibril turun pada Lailatul Qadar.
Keistimewaan Lailatul Qadar ditandai pula dengan turunnya malaikat. Allah Ta’ala berfirman;

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا 

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).” (QS. Al Qadar: 4)

Banyak malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana itu banyaknya berkat pada malam tersebut. Turunnya para malaikat menandakan turunnya berkat dan rahmat. Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membaca Al Qur’an dan juga malaikat akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis zikrullah iaitu majlis yang ada menyebut dan membesarkan Allah. Dan malaikat akan membentangkan sayap-sayap mereka pada orang yang duduk dalam majlis zikrullah itu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 407)

Malaikat Jibril disebut 'Ar Ruuh' di dalam surah Al Qadar untuk menunjukkan kemuliaannya (keutamaan) berbanding malaikat-malaikat yang lain.

5. Lailatul Qadar disifati dengan ‘salaam’.
Yang dimaksud ‘salaam’ dalam ayat;

سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْر

“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (QS. Al Qadr: 5)

Iaitu malam tersebut penuh keselamatan di mana syaitan tidak dapat berbuat apa-apa di malam tersebut. Demikianlah kata Mujahid (Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim, 14: 407). Juga dapat bererti bahawa malam tersebut, ramai yang selamat dari hukuman dan siksaan Allah kerana mereka melakukan ketaatan pada Allah (pada malam tersebut).

Sungguh hal ini menunjukkan keutamaan luar biasa dari Lailatul Qadar.

6. Lailatul Qadar adalah malam dicatatnya takdir tahunan.
Allah Ta’ala berfirman;

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

“(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)." (QS. Ad Dukhan: 4).

Ibnu Katsir dalam kitab tafsirnya (12: 334-335) menerangkan bahawa pada Lailatul Qadar akan dirinci di Lauhul Mahfuzh mengenai urusan takdir dalam setahun, juga akan dicatat ajal dan rezeki serta dicatat segala sesuatu hingga akhir dalam setahun. Demikian diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar, Abu Malik, Mujahid, Adh Dhahhak dan lain-lain.

Namun perlu dicatatkan di sini, sebagaimana keterangan dari Imam Nawawi dalam Syarh Muslim (8: 57), bahawa catatan takdir tahunan tersebut tentu saja didahului oleh ilmu Allah. Takdir ini nantinya akan ditampakkan pada malaikat dan ia akan mengetahui apa yang akan terjadi, lalu ia akan melakukan tugas yang diperintahkan untuknya.

7. Dosa orang menghidupkan malam ‘Lailatul Qadar’ akan diampuni Allah.
Dari Abu Hurairah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, bersabda;

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

"Barangsiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni." (HR. Bukhari).

Ibnu Hajar Al Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksud ‘iimaanan’ (kerana iman) adalah membenarkan janji Allah iaitu pahala yang dijanjikan (bagi orang yang menghidupkan malam tersebut). Sedangkan ‘ihtisaaban’ bermakna mengharap pahala (dari sisi Allah), bukan kerana mengharap yang lainnya, contohnya berbuat riya’. (Fathul Bari, 4: 251).

Allahu'alam.

Ya Allah, mudahkanlah kami meraih keistimewaan Lailatul Qadar dengan mengisi hari-hari terakhir bulan Ramadhan ini dengan amal-amal solih. Aamin Yaa Mujibas Saa-ilin. Copy from : http://dakuamatmenyintaimu.blogspot.com

Monday, 19 August 2013

CONTOH KARANGAN TERBAIK

http://chehashidah.blogspot.com/2011/09/contoh-karangan-terbaik.html

Tema : Keharmonian masyarakat berbilang kaum

Tugasan : Cara untuk mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum

Marcapada ini, masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu. Idea penubuhan Datuk Seri Mohd Najib B. Tun Abd. Razak tentang slogan “1 Malaysia” telah membawa negara kita ke arah satu anjakan paradigma dan mengubah cara hidup masyarakat majmuk yang tinggal di negara Malaysia. Namun begitu, apakah prakarsa-prakarsa yang harus dilaksanakan oleh semua pihak untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara kita?

Prakasa perdana bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah sikap individu itu sendiri. Hal ini demikian kerana, amannya sesuatu komuniti amnya bergantung kepada individu itu. Setiap individu itu haruslah mengamalkan sikap tolak ansurdan saling sayang menyayangi antara satu sama lain. Setiap rakyat haruslah sentiasa mengamalkan 17 nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Dengan adanya pengamal sikap-sikap murni dalam diri masyarakat di Malaysia, hidup setiap masyarakat rakyat pelbagai kaum akan sentiasa aman dan harmoni. Sebagai contohnya, rumah kita mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, tidak seharusnya kita menghalang jiran kita walaupun mereka bukanlah seagama dengan kita dari mengunjungi kita dan bersama-sama meraikannya bersama kita. Seandainya setiap rakyat mengamalkan sikap bertolak ansur dan sayang menyayangi antara satu sama lain, sudah pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum akan dapat dikekalkan, kerana tegap rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana keutuhan bangsanya. Tegasnya, sikap individu memainkan peranan yang paling penting untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di Malaysia hari ini.

Di samping itu, pihak sekolah juga merupakan penjamin masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita agar hidup dalam keadaan aman dan harmoni. Pihak sekolah mestilah mengadakan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemasyarakatan dan melibatkan komuniti pelbagai kaum. Seterusnya, pihak sekolah juga haruslah menggalakkan pemakaian pakaian tradisi kaum masing-masing semasa sambuatan-sambutan seperti sambutan Hari Kemerdekaan, perayaan dan sebagainya supaya masyarakat berbilang kaum di negara kita akan dapat merasai nikmat keharmonian dan kemakmuran hidup dalam masyarakat majmuk di negara Malaysia. Sebagai contoh, bagi kaum Melayu mereka hendaklah memakai baju Melayu dan baju kurung manakala kaum Cina memakai cheongsam dan memakai sari bagi kaum India . Sikap ini berjaya  menyemaikan semangat perpaduan dalam diri pelajar seterus akan terus bercambah dengan subur apabila mereka memasuki alam dewasa. Sesungguhnya, pihak sekolah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keharmonian dan kemakmuran masyarakat berbilang kaum di negara Malaysia, bak kata peribahasa jika tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya.

Amalan masyarakat itu juga salah satu langkah untuk mengekalkan keharmonian antara kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Amalan masyarakat yang baik dapat mengamankan masyarakat majmuk di Malaysia. Keamanan masyarakat ini dapat dikekalkan dengan penglibatan pelbagai kaum dan setiap aktiviti yang diadakan dalam sesebuah komuniti. Sebagai contoh, pengamalan tradisi sukan komuniti tahunan dengan penglibatan dari setiap golongan kaum yang berlainan disertai dengan pengamalan sikap-sikap terpuji dalam tradisi yang dilakukan. Seandainya amalan tradisi dalam sesebuah masyarakat dengan penglibatan pelbagai kaum tidak diamalkan, sudah pastilah keharmonian masyarakat tidak dapat dikekalkan. Pendek kata, amalan tradisi masyarakat dengan penglibatan masyarakat majmuk dapat mengekalkan keamanan dan kemakmuran hidup bermasyarakat dalam komuniti pelbagai kaum,  seperti yang diperjelas dalam peribahasa ke lurah sama dituruni, ke gunung sama didaki.

Di samping itu, media massa juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan antara masyarakat majmuk di negara kita. Hal ini demikian kerana, media massa merupakan satu mekanisma atau alat sebaran am yang dapat menyampaikan maklumat atau berita kepada orang ramai dengan cepat dan dalam masa yang singkat. Sikap mudah terpengaruh dengan media massa seperti radio atau televisyen merupakan senario yang biasa kita lihat pada hari ini. Dengan tersiarnya iklan-iklan atau cerita-cerita yang bertemakan perpaduan dan keharmonian, semangat cinta akan keamanan akan terus tersemat di dada semua rakyat di Malaysia. Sebagai contoh, cerita dan iklan seperti filem “Papadom” dan iklan TM yang memaparkan persahabatan antara kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India. Seandainya, media massa tidak memainkan peranan mereka sebagai alat sebaran am terpantas, sudah pasti keharmonian dan kemakmuran masyarakat sukar dikekalkan dalam anggota masyarakat di negara kita. Jelaslah bahawa media massa merupakan mekanisma penghubung antara masyarakat dalam mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita. Hal ini demikian kerana negara kita mengamalkan amalan demokrasi dan diperintah oleh sebuah kerajaan yang adil dan saksama. Gagasan “1 Malaysia” yang sentiasa berubah bergantung kepada sesuatu peristiwa yang penting telah membawa kepada satu transformasi yang drastik dalam mengekalkan keharmonian negara. Setiap rakyat haruslah sanggup berjuang berkorban dan bergadai nyawa untuk mempertahankan kedaulatan, keamanan dan cara hidup tanpa mengira kaum. Sebagai contoh sempena Hari Kemerdekaan ke-54 tahun 2011, pengasas cogan kata “1 Malaysia”, Perdana Menteri Malaysia keenam iaitu Datuk Seri Mohd Najib B. Abd Razak telah menjadikan tema “1 Malaysia” kepada tema ‘transformasi berjaya,rakyat sejahtera’. Seandainya kerajaan memainkan peranan dengan betul, jujur dan amanah sudah pasti kesejahteraan hidup bermasyarakat dalam pelbagai kaum dapat dikekalkan. Tegaslah bahawa kerajaan merupakan satu pihak yang memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

Kesimpulannya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian antara masyrakat berbilang kaum di negara kita. Dalam konteks ini,masyarakat haruslah berganding bahu dan bertolak ansur di samping pengamalan amalan tradisi serta kerjasama antara sekolah,media massa dan kerajaan bagi mengekalkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Oleh itu, sempena menyambut Hari Kemerdekaan Ke-54 dan bulan pembentukan Malaysia, marilah kita sama-sama bertekad untuk menjadi lebih patriotik,berikrar untuk memberi sumbangan penuh beerti kepada masyarakat, lebih bersatu padu dan mahu berkorban kepada negara kerana sesungguhnya ‘Bulat air kerana pembetung,bulat manusia kerana muafakat’.